Polis akan menyiasat perbuatan menyiarkan artikel menghina Nabi Muhammad S.A.W dalam sebuah laman blog seperti yang didakwa dalam laporan sebuah akhbar tempatan hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan marah dan tersinggung, khususnya umat Islam dan orang Melayu serta mengundang konflik perasaan, agama dan bangsa.
Ketika dihubungi Bernama, Ismail berkata, dari sudut perundangan, ia dianggap satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan polis akan segera menyiasat pemilik serta penulis blog berkenaan.
Dalam laporannya hari ini, akhbar berkenaan mendakwa terdapat sebuah laman blog, yang kononya milik seorang wanita Melayu, yang dikesan melemparkan penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W dan menggunakan gambar dan lukisan.
Laporan itu juga memberitahu selain penuh dengan tohmahan, artikel tersebut turut disertakan gambar wajah orang yang diubah suai bagi tujuan menghina dan memburuk-burukkan Nabi Muhammad S.A.W.
Jumpa menteri
Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, Wanita yang gambar serta identitinya digunakan dalam sebuah laman blog yang artikelnya menghina Nabi Muhammad S.A.W, mendakwa, laman blog tersebut bukan miliknya sebaliknya disalahgunakan pihak lain yang
tidak diketahui motifnya.
Ahmad Shabery berkata wanita berkenaan membuat pengakuan tersebut dalam pertemuannya dengan beliau dua minggu lepas dan meminta RTM menyiarkan tentang perkara tersebut untuk membersihkan namanya.
"Wanita itu yang berusia dalam lingkungan 20-an ada berjumpa dengan saya untuk meminta pertolongan bagi membersihkan nama serta identitinya yang digunakan dalam sebuah laman blog menghina Nabi Muhammad S.A.W," katanya kepada pemberita di majlis perasmian Nur Sejahtera peringkat Parlimen Kemaman hari ini.
"Dia memohon bantuan RTM supaya menghebahkan perkara itu kerana laman blog yang turut mengandungi mesej serta ucapan Deepavali berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu itu bukan dilakukan oleh dirinya dan telah menjejaskan nama baik dirinya serta syarikat tempat dia bekerja.
"Saya telah minta RTM muat cerita itu untuk mengingatkan orang ramai yang menerima kad ucapan dari laman blog itu supaya berhati-hati dan membuat laporan polis," katanya.
Ahmad Shabery berkata wanita yang bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat pemotoran besar di Lembah Klang sendiri mengakui beliau keliru dengan motif pihak tidak bertanggungjawab itu selain tertanya-tanya kenapa identitinya dijadikan mangsa.
"Dia mengesan kehadiran laman blog yang menggunakan nama serta identitinya itu beberapa bulan lepas dan telah pun membuat laporan polis serta Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab," katanya.
Sehubungan itu, menteri berkenaan meminta pihak terbabit menyiasat segera laman blog berkenaan untuk membersihkan nama wanita terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Bagaimanapun beliau difahamkan laman blog terbabit mempunyai pelayar yang berpangkalan di luar negara dan menyukarkan Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak terbabit.
Katanya, beliau yakin laman blog itu sengaja diadakan-adakan oleh pihak yang mempunyai niat buruk terhadap wanita berkenaan serta majikannya.
Beliau berkata wanita itu kini berada dalam keadaan tekanan mental dan fizikal ekoran kejadian tersebut.
Ahmad Shabery yakin wanita tersebut tidak bersalah kerana jika benar beliau mempunyai tanggapan negatif terhadap agama Islam, tidak mungkin masa yang sama laman blog terbabit turut mempunyai ucapan berbaur penghinaan terhadap agama lain.
No comments:
Post a Comment