Friday, January 23, 2009

Perlukah beliau meneruskan latihan beliau


Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan memberi pengecualian kepada Mohd Alhasyhiemi Mohd Hussin, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Selama, Perak yang hampir lemas yang kini dalam keadaan kritikal daripada meneruskan latihan itu.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil bagaimanapun berkata, pengecualian berkenaan bagaimanapun bergantung kepada laporan perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) di sini yang akan diperoleh dalam masa terdekat.

"Kita akan menimbangkan permohonan keluarga pelatih berkenaan yang mahu pengecualian terhadap anak mereka daripada menyertai PLKN, bagaimanapun ia bergantung pada laporan perubatan, sama ada pengecualian atau penangguhan sementara," katanya kepada pemberita selepas melawat pelatih berkenaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZII di sini, Khamis.

Ditanya berkenaan dakwaan keluarga pelatih itu yang mengatakan kesilapan berpunca ekoran pihak pengurusan PLKN di Kem Selama yang tidak memaklumkan kejadian yang menimpa anaknya sehingga berada dalam keadaan kritikal beliau berkata, JLKN masih meneruskan siasatan.

Beliau berkata, JLKN telah menghantar pegawai untuk menyiasat berhubung dakwaan itu dan kesahihannya juga akan diketahui dalam masa terdekat.

Sementara itu, bapa pelatih berkenaan, Mohd Hussin Yunus, 45 berkata beliau dan keluarga tekad dengan keputusan tidak membenarkan Mohd Alhasyhiemi, 18 menyertai PLKN setelah dibenarkan keluar dari hospital.

"Tidak, kami tidak benarkan dan tidak mahu Mohd Alhasyhiemi terus menyertai PLKN kerana walaupun dia dilaporkan sihat nanti tetapi dia sangat trauma dengan semua kejadian yang telah menimpanya itu," katanya.

Beliau yang ditemui hari ini bagaimanapun berterima kasih dengan keprihatinan JLKN yang sudi meluangkan masa melawat anaknya dan sehingga kini masih dengan keputusan tidak mahu mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap jabatan itu.

Mengenai perkembangan terbaru Mohd Alhasyhiemi beliau berkata, anaknya itu kini telah sedarkan diri dan boleh bercakap.

"Dia dah sedar dan boleh bercakap. Lebih menggembirakan kami apabila dia tidak lagi sepenuhnya bergantung kepada bantuan oksigen untuk bernafas sebaliknya sudah boleh bernafas sendiri," katanya.

Mohd Hussin bagaimanapun berkata beliau belum dimaklumkan bila anaknya yang masih ditempatkan di ICU itu akan dipindahkan ke wad biasa dan dibenarkan keluar dari hospital.

Sebelum ini Mohd Alhasyhiemi hampir lemas apabila terjatuh ke dalam sebuah longkang besar ketika sedang mengangkut barangan ke tempat yang selamat semasa pemindahan banjir di kem berkenaan berikutan air bukit di kawasan itu telah turun sehingga menyebabkan banjir.

Bagaimanapun beliau sempat diselamatkan oleh salah seorang jurulatih kem tersebut dan dimasukkan ke wad namun pihak pengurusan PLKN langsung tidak memaklumkan kepada keluarga mangsa berkenaan kejadian itu.

Keadaan mangsa semakin teruk apabila demam berpanjangan dan sering sesak nafas sehingga terpaksa dibawa pulang ke kampungnya di Pasir Mas dan dimasukkan ke Hospital Lati, Pasir Mas empat hari lalu sebelum dipindahkan ke ICU HRPZII ekoran keadaannya yang semakin kritikal.

Melalui pemeriksaan x-ray yang dijalankan doktor di HRPZII, mendapati terdapat jangkitan kuman di paru-paru mangsa ekoran tertelan air banjir yang banyak semasa kejadian itu.


P/S ......bagi saya cukuplah penderitaan yang beliau alami dari segi mental dah juga fizikal alhamdulilah beliau semakin sihat tetapi cukup la kerajaan untuk menyeksa beliau lagi....

Tuesday, January 20, 2009

Sudah kehabisan air mata kerana kesilapan orang lain

Saya menitiskan air mata apabila buletin utama menyiarkan berita derita pelatih PLKN berada dalam keadaan koma di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 Kota Bahru kelantan.Pada minggu lepas saya ada pergi menziarahi beliau di hospital lati bersama wartawan sinar harian pasir mas. beliau anak kepada johan Qari tilawah al Quran peringkat Antarabangsa pada masa lalu.Anak kepada Ustaz Husin .Pada masa ini Pelatih berada dalam keadaan kritikal Kenapa perkara ini terjadi dan langkah penyelesaian mengikut pandangan saya ialah

Maka bagi untuk itu saya mengesa kerajaan untuk mengambil tindakan segera dengan :

1. Menutup sementara waktu kem latihan yang terlibat ( Kem PLKN Tegas Mesra, Selama Perak ) Penutupan ini bagi memastikan satu siasatan lengkap dapat dijalankan untuk menilai semula keseluruhan aspek yang telah menyumbang kepada yang berlaku kepada adik (Ahmad Al-Hashyiemi, 17,). Khususnya penilaian ini ialah bagi melihat kemampuan fungsi dan peranan jurulatih bagi memastikan kejadian yang berlaku tidak berulang.

2. Menilai semula operator pengendali kem bagi memastikan kem latihan yang digunakan menyediakan suasana yang kondusif kepada peserta.

3. Menyiasat secara terperinci punca kejadian berlaku dan menginggatkan kerajaan untuk tidak melihat apa yang berlaku sebagai kes terpencil ini kerana ianya melibatkan nyawa pelatih. Maka kajian menyeluruh dan telus perlu dilakukan.


Maka untuk itu saya menyeru dengan tegas, agar kerajaan membuktikan, bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab terhadap keselamatan rakyatnya. Kerajaan juga perlu membuktikan ketelusan dan keterbukaan dengan memandang berat terhadap cadangan yang telah diberikan khususnya terhadap cadangan melakukan penilaian semula terhadap keberkesanan perlaksanaan PLKN.

Bagi tujuan tersebut saya menggariskan beberapa perkara yang tidak boleh dilepas pandang oleh semua pihak bagi memastikan penilaian semula tersebut benar-benar bererti kepada PLKN.

1. Menilai semula keseluruhan jurulatih yang terlibat bagi memastikan mereka yang telah dipilih benar-benar mempunyai kelayakan untuk bergelar jurulatih. Penilaian ini juga bagi memastikan setiap jurulatih yang dipilih tidak dilantik atas kapasiti bagi menjalankan kerja-kerja indoktrinisasi ke atas pelatih untuk pihak lain yang berkepentingan dan juga bagi memastikan jurulatih yang dilantik benar-benar layak. Kegagalan jurulatih berfungsi sebagaimana yang diharapkan dapat dilihat daripada beberapa kejadian seperti :


2. Memansuhkan modul latihan yang digunakan. Modul yang diguna pakai oleh PLKN secara jelas tidak mampu dan gagal untuk menyokong hasrat kewujudan PLKN bagi membentuk sebuah generasi yang patriotik dan berdisiplin. Kegagalan modul ini dapat dilihat daripada :

i. Peningkatan kes yang melibatkan pergaduhan, kecurian dan vandalisme.
ii. Wujudnya perlakuan-perlakuan jenayah seperti rogol, cabul dan sebagainya yang cukup membimbangkan.
iii. Berlakunya kes-kes pergaduhan antara kaum sebagaimana yang dilaporkan berlaku di beberapa kem PLKN seperti di Kem Kuala Berang
v. Modul mengabaikan aspek-aspek agama sehingga berlakunya percampuran bebas, pengabaian terhadap amalan wajib agama dan sebagainya.

Bagi merangka modul yang akan digunapakai saya menggariskan pandangan dibawah sebagai garis panduan kepada kerajaan dan semua pihak yang bertanggungjawab :

i. Asas kepada modul perlu meletakkan kepercayaan kepada tuhan dan agama sebagai asas terpenting. Latihan, gerak kerja samada secara fizikal mahupun tidak perlu disandarkan kepada asas ini.
ii. Skop pembinaan kenegaraan dan patriotisme perlu diluaskan. Matlamat pemahaman pelatih perlu disasarkan kepada kejituan jati diri untuk sedia dan setia berkhidmat dan berkorban untuk negara bukan kepada parti politik pemerintah. Pembentukan pemikiran kritis kalangan peserta juga perlu disemai dan disegarkan ke arah membina warga negara kelas pertama.
iii. Pemahaman mendalam pelatih terhadap aspek-aspek perlembagaan negara dan kedaulatan undang-undangnya.
iv. Pembinaan jati diri dan disiplin pelatih perlu dilihat daripada skop yang lebih luas. Pembinaan sewajarnya tidak berlandaskan kepada paksaan tetapi lebih kepada kefahaman jelas yang lebih praktikal.

3. Menilai kembali kem-kem latihan yang telah dipilih bagi memastikan segenap aspek yang melibat kemudahan asas, tahap keselamatan dan sebagainya dipenuhi tanpa kompromi. Pentauliah kem-kem latihan juga perlu melalui proses saringan yang ketat. Pengendalian kem hendaklah berdasarkan meritokrasi tidak sekadar memenuhi kuota yang ada. Kemampuan pengendalian kem untuk mewujudkan suasana kondusif kepada pelatih perlu dilihat sebagai syarat utama.

Pandangan inilah yang acapkali diluahkan oleh pelbagai pihak kepada kerajaan bagi menjadikan PLKN lebih ampuh dan mantap objektif dan perlaksanaannya. Seandainya kerajaan lebih sensitif dan tidak terlalu angkuh terhadap keputusannya dengan menolak pandangan pihak lain mungkin kejadian yang menimpa kepada adik Ahmad Al-Hashyiemi, 17, dapat dielakkan. Sayangnya semua telah berlaku.

DPPP amat memahami dan menyelami perasaan sedih dan kekecewaan keluarga adik Ahmad Al-Hashyiemi, terhadap apa yang berlaku. tidak diiringi dengan iltizam untuk mendesak kerajaan bagi memastikan setiap kepincangan yang berlaku didalam PLKN diatasi.

Untuk itu saya menyeru kerajaan agar berani untuk mengaku segala kepincangan yang berlaku. Sudah sampai masanya kerajaan mencampak ketepi segala keangkuhan dan bersikap matang dengan mengambil setiap pandangan yang telah dilontarkan. Cukup sudah segala kepincangan PLKN melibatkan nyawa pelatih


sedutan daripada Bharian isnin

KOTA BHARU: Bapa pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dekat sini, meminta Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) meningkatkan ciri keselamatan di semua kem latihan PLKN.

Md Hussin Yunus, 45, berkata ciri ini penting dan harus diberi keutamaan kerana membabitkan nyawa pelatih yang kebanyakannya masih baru dengan suasana di kem.

"Ini berkaitan dengan nyawa dan keselamatan anak kita. Saya mempunyai lima lagi anak yang mungkin terpilih menyertai PLKN. Selepas kejadian ini, saya agak takut untuk membenarkan anak saya menyertainya dan mungkin akan memohon untuk pelepasan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menziarah anaknya, Ahmad Al-Hashyiemi, 17, yang kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas terjatuh ke dalam longkang di Kem PLKN Tegas Mesra, Selama Perak, 1 Januari lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Ahmad Al-Hashyiemi dilaporkan hampir lemas selepas terjatuh ke dalam longkang yang digenangi air di kem terbabit ketika mengangkut barang dalam operasi pemindahan akibat banjir.

Bagaimanapun, dia sempat diselamatkan oleh seorang jurulatih kem yang kebetulan berada di tempat kejadian tetapi pengurusan tidak memaklumkan kepada keluarganya.

MD HUSSIN menunjukkan laporan kejadian yang dikeluarkan pihak Kem PLKN Tegas Mesra, Selama, Perak ketika ditemui di HRPZ II, Kota Bharu, semalam.

Md Hussin berkata, anaknya itu tidak mengalami sebarang perubahan sejak dimasukkan ke ICU hospital berkenaan kelmarin.

Katanya, doktor memberitahu keadaannya tenat dan bergantung kepada alat bantuan penafasan sepenuhnya kerana sukar bernafas.

Katanya, beliau tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap PLKN sebaliknya ingin menumpukan kepada anak keduanya itu yang kritikal.

Bminggu

JLKN rawat segera pelatih sakit, cedera

Ahmad Al-Hashyiemi dipindah ke kem lain

KOTA BHARU: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sudah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan seorang pelatihnya diberikan rawatan segera selepas terjatuh ke dalam longkang ketika operasi pemindahan akibat banjir di Kem PLKN Tegas Mesra, Selama, Perak, pada 1 Januari lalu.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) itu, Ahmad Al-Hashyiemi Md Hussin, yang berasal dari Kelantan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, selepas didapati dijangkiti kuman.


"Pelatih terbabit sudah ditukarkan ke Kem Cancun Park, Pasir Mas dan saya sudah mengarahkan komandan serta kakitangan kem supaya sentiasa bersama pelatih terbabit dan mengemu-kakan laporan status kesihatannya dari semasa ke semasa.


"Malah, saya juga sudah berhubung dengan bapa pelatih terbabit untuk mendapatkan maklum balas berkenaan kejadian itu," katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, bapa pelatih berkenaan, Md Hussin Yunus, mendakwa anaknya terjatuh ke dalam longkang di kem itu ketika memindahkan barang ke tempat selamat sehingga menyebabkan anaknya terpaksa menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau dilaporkan berkata, ketika kejadian, longkang itu tidak dapat dilihat kerana digenangi banjir setinggi paras lutut. Malah, beliau kesal kerana tidak dimaklumkan mengenai kejadian itu lebih awal dan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap JLKN.


Abdul Hadi berkata, kejadian berlaku jam 5 petang pada 1 Januari lalu ketika hujan lebat yang menyebabkan sebahagian kawasan Kem PLKN Tegas Mesra dimasuki air dan semua pelatih yang berada di kawasan rendah dipindahkan ke dewan.

"Ketika dalam perjalanan ke tempat penginapan, Ahmad Al-Hashyiemi terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air dan dia dibawa untuk pemeriksaan di pusat perubatan kem dan mendapati keadaannya normal.

"Bagaimanapun, dia didapati mengalami kesakitan di bahu dan dinasihatkan berehat di bilik rawatan sebelum perkara itu dimaklumkan pelatih berkenaan kepada ibu bapanya.

"Oleh kerana mengalami tekanan perasaan, beliau dibawa ke Hospital Selama pada 2 Januari untuk pemeriksaan lanjut, keadaannya didapati stabil dan dibenarkan pulang ke kem untuk berehat selama sehari," katanya.

Abdul Hadi berkata, ibu bapa pelatih terbabit yang tiba di kem itu pada 3 Januari memohon membawa anak mereka pulang ke Kelantan dan kelulusan juga diberi bagi membolehkannya ditukar ke Kem Cancun Park.

"Ahmad Al-Hashyiemi melapor diri kem Cancun Park pada 11 Januari tetapi menjalani pemeriksaan pada keesokan harinya kerana didapati menggigil sebelum dirujuk ke Hospital Pasir Mas dan ditahan tiga hari untuk pemeriksaan.

"Bagaimanapun, pelatih terbabit kemudian dirujuk ke HRPZ II dan pemeriksaan mendapati dia menghidapi jangkitan kuman, keadaannya kini dilaporkan semakin pulih,” katanya.