Friday, January 23, 2009

Perlukah beliau meneruskan latihan beliau


Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan memberi pengecualian kepada Mohd Alhasyhiemi Mohd Hussin, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Selama, Perak yang hampir lemas yang kini dalam keadaan kritikal daripada meneruskan latihan itu.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil bagaimanapun berkata, pengecualian berkenaan bagaimanapun bergantung kepada laporan perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) di sini yang akan diperoleh dalam masa terdekat.

"Kita akan menimbangkan permohonan keluarga pelatih berkenaan yang mahu pengecualian terhadap anak mereka daripada menyertai PLKN, bagaimanapun ia bergantung pada laporan perubatan, sama ada pengecualian atau penangguhan sementara," katanya kepada pemberita selepas melawat pelatih berkenaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZII di sini, Khamis.

Ditanya berkenaan dakwaan keluarga pelatih itu yang mengatakan kesilapan berpunca ekoran pihak pengurusan PLKN di Kem Selama yang tidak memaklumkan kejadian yang menimpa anaknya sehingga berada dalam keadaan kritikal beliau berkata, JLKN masih meneruskan siasatan.

Beliau berkata, JLKN telah menghantar pegawai untuk menyiasat berhubung dakwaan itu dan kesahihannya juga akan diketahui dalam masa terdekat.

Sementara itu, bapa pelatih berkenaan, Mohd Hussin Yunus, 45 berkata beliau dan keluarga tekad dengan keputusan tidak membenarkan Mohd Alhasyhiemi, 18 menyertai PLKN setelah dibenarkan keluar dari hospital.

"Tidak, kami tidak benarkan dan tidak mahu Mohd Alhasyhiemi terus menyertai PLKN kerana walaupun dia dilaporkan sihat nanti tetapi dia sangat trauma dengan semua kejadian yang telah menimpanya itu," katanya.

Beliau yang ditemui hari ini bagaimanapun berterima kasih dengan keprihatinan JLKN yang sudi meluangkan masa melawat anaknya dan sehingga kini masih dengan keputusan tidak mahu mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap jabatan itu.

Mengenai perkembangan terbaru Mohd Alhasyhiemi beliau berkata, anaknya itu kini telah sedarkan diri dan boleh bercakap.

"Dia dah sedar dan boleh bercakap. Lebih menggembirakan kami apabila dia tidak lagi sepenuhnya bergantung kepada bantuan oksigen untuk bernafas sebaliknya sudah boleh bernafas sendiri," katanya.

Mohd Hussin bagaimanapun berkata beliau belum dimaklumkan bila anaknya yang masih ditempatkan di ICU itu akan dipindahkan ke wad biasa dan dibenarkan keluar dari hospital.

Sebelum ini Mohd Alhasyhiemi hampir lemas apabila terjatuh ke dalam sebuah longkang besar ketika sedang mengangkut barangan ke tempat yang selamat semasa pemindahan banjir di kem berkenaan berikutan air bukit di kawasan itu telah turun sehingga menyebabkan banjir.

Bagaimanapun beliau sempat diselamatkan oleh salah seorang jurulatih kem tersebut dan dimasukkan ke wad namun pihak pengurusan PLKN langsung tidak memaklumkan kepada keluarga mangsa berkenaan kejadian itu.

Keadaan mangsa semakin teruk apabila demam berpanjangan dan sering sesak nafas sehingga terpaksa dibawa pulang ke kampungnya di Pasir Mas dan dimasukkan ke Hospital Lati, Pasir Mas empat hari lalu sebelum dipindahkan ke ICU HRPZII ekoran keadaannya yang semakin kritikal.

Melalui pemeriksaan x-ray yang dijalankan doktor di HRPZII, mendapati terdapat jangkitan kuman di paru-paru mangsa ekoran tertelan air banjir yang banyak semasa kejadian itu.


P/S ......bagi saya cukuplah penderitaan yang beliau alami dari segi mental dah juga fizikal alhamdulilah beliau semakin sihat tetapi cukup la kerajaan untuk menyeksa beliau lagi....

1 comment:

Anonymous said...

Biarlah sampai sembuh...lihatlah keadaannya...